
Sebagai pawrent kucing, anda mungkin pernah tertanya-tanya, “Kenapa kucing saya suka muntah makanan?” Melihat si bulus muntah tak lama selepas makan memang boleh buat kita rasa risau. Lagi-lagi kalau ia kerap berlaku ataupun muntah tu berwarna kuning. Adakah ini sesuatu yang normal, atau sebenarnya petanda si manja ada masalah kesihatan?
Jangan risau, anda bukan seorang saja yang alami situasi ni. Ramai pemilik kucing di Malaysia pun pernah hadap benda sama. Berita baiknya, kebanyakan punca kucing muntah makanan boleh diatasi dengan langkah-langkah mudah. Tapi penting juga untuk tahu bila muntah tu sekadar gejala ringan, dan bila ianya petanda masalah kesihatan serius, seperti FIP (Feline Infectious Peritonitis).
Baca juga: Memahami Gejala Penyakit FIP Pada Kucing
Artikel ni akan terangkan dengan lengkap kenapa kucing muntah makanan, dari sebab biasa macam makan gelojoh, hairball, sampailah ke masalah kesihatan kronik. Kami juga akan kongsikan tips dan cara berkesan untuk atasi masalah ni supaya si manja anda kembali sihat dan ceria!
Kenapa Kucing Muntah Makanan?
Muntah sebenarnya adalah cara badan kucing keluarkan benda yang dianggap berbahaya atau yang perut mereka tak boleh terima. Ini antara punca utama kenapa kucing muntah selepas makan:
1. Makan Terlalu Cepat
Kalau si manja makan dengan gelojoh, mereka mungkin telan udara sekali dengan makanan. Ini buatkan perut rasa tak selesa, lalu muntah terus selepas makan. Biasanya berlaku bila kucing terlalu lapar atau ada ‘persaingan’ masa makan, contohnya banyak kucing berebut makanan.
2. Pertukaran Makanan Mendadak
Tukar jenis atau jenama makanan kucing secara tiba-tiba tanpa perkenalkan secara berperingkat boleh buat sistem pencernaan mereka terkejut, lalu menyebabkan muntah.
3. Makan Makanan yang Tak Sesuai
Sesetengah makanan manusia seperti coklat, bawang, atau makanan berminyak memang tak sesuai langsung untuk kucing. Kalau mereka makan juga, risiko untuk muntah atau keracunan memang tinggi.
4. Hairball (Bola Bulu)
Kucing memang suka jilat bulu sendiri. Dalam proses tu, mereka tertelan banyak bulu. Bila bulu tu berkumpul dalam perut, mereka akan muntah untuk keluarkan hairball tu. Biasanya, muntah ni nampak macam cecair kuning yang ada gumpalan bulu.
5. Virus FIP (Feline Infectious Peritonitis)
FIP adalah penyakit serius berpunca daripada mutasi virus korona kucing. Virus ni boleh serang organ dalaman termasuk sistem penghadaman. Muntah akibat FIP selalunya disertai simptom lain macam demam, berat badan turun mendadak, atau perut nampak buncit.
6. Stres atau Keresahan
Kucing yang alami stres, contohnya sebab pindah rumah, kehadiran haiwan baru, atau perubahan rutin harian, juga boleh muntah.
Kenapa Kucing Muntah Warna Kuning?
Muntah kuning pada kucing biasanya petanda mereka keluarkan hempedu. Ini beberapa sebab biasa:
Perut Kosong Terlalu Lama: Kalau kucing tak makan dalam tempoh lama, perut mereka mungkin kosong sangat sampai keluar hempedu.
Masalah Hati atau Pankreas: Penyakit berkaitan hati atau pankreas juga boleh buatkan kucing muntah cecair kuning.
Hairball atau Iritasi Perut: Pengumpulan bola bulu atau perut yang sensitif boleh jadi penyebab.
Kenapa Kucing Kerap Muntah?
Kalau kucing muntah lebih dari 2 kali seminggu, ia mungkin tanda masalah kesihatan yang lebih serius, seperti:
FIP: Virus ni boleh menyebabkan radang organ dalaman kucing.
Jangkitan Saluran Penghadaman: Bakteria atau parasit boleh buatkan kucing muntah berulang kali.
Alergi Makanan: Sesetengah kucing sensitif dengan bahan tertentu dalam makanan mereka.
Penyakit Kronik: Masalah hati, buah pinggang, atau diabetes juga punca kucing muntah kerap.
Cara Mengatasi Kucing Muntah Makanan
Lepas tahu puncanya, berikut antara langkah-langkah yang boleh anda cuba:
1. Atur Pola Makan
Bagi makan dalam kuantiti kecil tapi lebih kerap.
Guna mangkuk anti-gelojoh untuk perlahan kelajuan makan si manja.
2. Pilih Makanan Sesuai
Gunakan makanan khas untuk kucing yang ada perut sensitif.
Elakkan beri makanan manusia atau sisa makanan yang tak sesuai.
3. Kurangkan Hairball
Beri makanan atau treat khas untuk bantu cegah hairball.
Sikat bulu kucing selalu supaya kurang bulu tertelan.
4. Jaga Persekitaran
Pastikan tiada barang kecil yang boleh ditelan.
Wujudkan suasana rumah yang tenang dan bebas stres.
5. Jumpa Doktor Haiwan
Kalau muntah masih berterusan, jangan tunggu lama—bawa terus kucing anda ke vet. Rawatan seperti ubat tahan muntah, drip air, atau ubat-ubatan lain mungkin diperlukan kalau ada penyakit serius.
Jika Kucing Muntah Sebab FIP?
Kalau muntah disebabkan FIP, kanser, atau penyakit kronik lain macam masalah buah pinggang, rawatan lebih fokus pada penyakit asas tu. Biasanya vet akan cadangkan rawatan sokongan dan mungkin ubah diet kucing.
Bagi kes FIP yang ada muntah-muntah, rawatan GS-441524 versi suntikan lebih disyorkan berbanding yang oral. Ini kerana muntah boleh ganggu penyerapan ubat oral. Suntikan lebih cepat dan berkesan sebab ia terus masuk ke dalam sistem badan tanpa lalui saluran penghadaman.
Kalau kucing anda kerap muntah, cepat-cepat bawa jumpa vet untuk pemeriksaan. Lagi cepat rawatan dimulakan, lagi tinggi peluang si manja sembuh.
Ringkasan
Kenapa kucing selalu muntah? Puncanya banyak, dari makan laju sampai penyakit serius seperti FIP. Kalau si manja kerap muntah atau muntah kuning, perhatikan betul-betul keadaan mereka. Ambil langkah awal seperti ubah pola makan, dan jangan segan bawa ke klinik haiwan untuk diagnosis.
Kalau kucing anda menunjukkan tanda-tanda FIP, cepat bawa ke vet untuk pemeriksaan dan rawatan. Kalau nak tahu lebih lanjut pasal FIP atau perlukan bantuan, boleh hubungi Basmi FIP Malaysia di WhatsApp atau follow Instagram Basmi FIP Malaysia. Kami sedia bantu dan beri panduan.